Social Icons

Sunday, October 27, 2013

nota untuk adik kecil

dengarlah adik.

hidup ini terlalu singkat
kita tidak punya banyak masa

detik yang tak seberapa ini
jangan henti belajar 
untuk redha
untuk terus berusaha
untuk menghargai
untuk menghormati
jangan ikut kepala sendiri
jangan ikut hati 

siapa tidak diduga 
siapa tidak diuji
tiada siapa
yang beda cuma masa dan caranya

kita
tidak boleh lari
kita
harus hadapi

memang. 
semua ingin bahagia
semua ingin gembira
semua tidak mahu terluka atau berduka 
tapi kita siapa mahu menyoal
ketentuan qada' dan qadarNya

satunya cara untuk bahagia dan gembira
walau sedang diuji
walau apa yang jelma menduga 
belajarlah untuk redha
belajarlah untuk menerima
dan belajar untuk terus mara

yakinlah
bahawa Allah adalah sebaik perancang
yang maha mengetahui
lagi maha adil meletakkan sesuatu pada yang hak

kiranya berdepan dengan kehilangan
baik harta mahupun nyawa yang tersayang 
yang buat kita seakan hilang arah
runsing dan mungkin boleh jadi hilang akal  
yakinlah
tiada apa yang diambil dari kita
tiada apa yang hilang 

kerana
dari azalinya
pada janjinya
tiada apa pun yang mutlak milik kita
semuanya pinjaman dariNya
yakinlah 

jangan heret insan keliling yang menyayangimu
untuk terus berduka lara bersamamu
untuk terus menjawab soal tentang takdirmu 
untuk terus hiba melihat meranamu

bangkit.
ingatlah, hidup ini terlalu singkat 
kita punya pilihan.
dan
pilihlah untuk bahagia.

nota untuk adik kecil
mrs. farizal
rumah semanis rumah
27 oktober 2013, jam 12:42 malam

Friday, October 18, 2013

tiada tajuk #3

salam. 

jangan naik berang. 

jika mulanya tiada, 
mana mungkin ada akhirnya, 

sepintas
untuk kali ini 
bumi asing yang dipijak 
punya aneka cerita
dari teguh cinta agung sang pencinta 
hingga di balik tamadun terpinggir menyisih 
unik 

#Delhi #India #KaryaCinta 

mrs. farizal 
rumah semanis rumah 
18 okt 2013, jam 12:13 malam 

Thursday, October 17, 2013

tiada tajuk #2

salam semua.

tiada tajuk sempurna.
masih.
tapi, punya kenangan yang tak hilang.
abadi.
jika ada izin-Nya,
akan dikarang sedaya upaya. 

#Guangzhou #Shenzen :: Disember 2012
mrs. farizal 
rumah semanis rumah 
17 okt 2013, jam 11:59 malam


tiada tajuk #1


salam semua.

tiada tajuk sempurna.
tulisan ini masih tidak terencana kupasan ceritanya.
di sebaliknya punya kisah amat istimewa.
bukan dongeng, mahupun rekaan semata.
cuma, sebuah angan yang jadi nyata. 
tidak percaya, 
kunjungan ke rumah pencipta 

tiada deskripsi
yang bisa mempotret perasaan
yang bisa mempamer refleksi 
yang bisa memcermin bayangan 

masyaAllah, masyaAllah, masyaAllah. 

#Makkah-Al-Mukarramah #Madinah-Al-Munawarrah #JabalUhud #Hudaibiyah #Jeddah :: April 2013

mrs. farizal 
rumah semanis rumah 
17 okt 2013, jam 11:54 malam

Sunday, October 13, 2013

Salam isnin, 9 zulhijjah :)


Keluar kejap dari mode 'india'
Cak! 




Kasut tawaf ni tidak sempat digunakan bagi tujuan tawaf sebab beli masa hari terakhir di Mekah, patut boleh juga pakai semasa tawaf wada' (tawaf selamat tinggal) tapi ada insiden yang menyebabkan saya lupa langsung wujudnya kasut ni. Nanti kalau berkesempatan buat entry pasal umrah saya kongsikan okeh, insyaAllah :) 

Tapi tak apa, kegunaannya usah dihadkan. Hehe. Kasut tawaf ni harganya 5 Riyal. Ikutkan hati nak beli 10, lepas kena jeling dengan suami yang suruh beli sepasang saja, saya sempat tarik lagi sepasang, jadi ada dua pasang. 

Jangan confuse, kasut tawaf ni panjangnya cuma hingga buku lali, yang nampak lebih panjang dalam gambar atas tu sebab saya pakai stokin panjang di dalamnya. Uniform lebih tampak rasmi dengan kain batik. Haha. 

Oh ya, jom kita berdoa agar semua tetamu Allah dipermudah mengerjakan rukun haji yang kedua iaitu wukuf di arafah. Buat yang di tanah air masing-masing, yang mampu dan sihat untuk berpuasa jomlah kita puasa. Untungnya siapa yang dapat puasa di hari arafah. Harap 9 Zulhijjah tahun depan saya berpeluang. 

Salam sayang, 
Mrs. Farizal 
Rumahku Syurgaku 

Sunday, October 6, 2013

Incredible India #5 : Suratkhabar

Bismillah. 

Banyak gambar tersimpan dalam iphone, yang ceritanya masih duduk dalam kepala. Percubaan utk mengingat peristiwa yg terjadi di sebalik gambar, dan kemudian berkongsi. 

Walau tidak tiap hari menghadap suratkhabar, yang jarang itupun dah buat hati perempuan Malaya ni gerun. Kes rogol kejam bunuh merata tempat buat hati risau nak keluar dari perkarangan hotel, kes rusuhan & amukan golongan muslim dan hindu buat hati hilang rasa nak ke sana ke mari selepas tamat kelas di petang hari, berita pencemaran air, udara, makanan buat selera terbatas hanya berani makan makanan dari hotel semata, kisah penggulingan pucuk pimpinan disertai dengan demonstrasi jalanan buat diri rasa gayat di negara yang satu ni. 

Liputan berita di kaca televisyen tak kurang hebatnya, muka pesalah kumpulan perogol bersiri berselang seli disiar dengan perkembangan kemelut keangkuhan kuasa di Syria. Wawancara politik dan debat perdana hampir setiap malam di ruang udara, bersemangat dan penuh agenda. Pada waktu itu juga, di perkampungan di salah sebuah daerah di negeri Uttar Pradesh pula golongan muslim dan hindu merusuh hingga mengakibatkan puluhan terkorban. Mulanya saya tak terbaca tentang tu, tapi Lily yang beritahu saya setelah berita tersebut merisaukan ibu dan suaminya. Seusai dengar berita, tak tunggu panjang saya terus tunjukkan akhbar yang dimaksudkan kepada adik-adik Front Desk hotel dan bertanyakan berapa jauh daerah tersebut, ragu dengan keselamatan diri dan rakan lain. Kata mereka hampir 400km. Oh, sedikit lega. Bukan lega sepenuhnya. Risiko mmg ada.  

Tenggelam cerita pembangunan dan perlancongan yang cuba diketengahkan oleh media mereka. Bukan tiada, tapi tidak lagi menarik dirasakan. 

Pemerhatian saya, semua sudut media mereka amat telus, tiada yang kabur. Baik yang di kaca tv, corong radio, akhbar, juga di atas talian. Boleh jadi tidak dikawal oleh kuasa politik. Barangkali. 








Sejujurnya, saya tidak pernah rasa tidak selamat seperti yang saya alami sepanjang di negara yang satu ini. Saya punya secebis pengalaman ke sebilangan negara asia tenggara, sebuah negara eropah timur, dua negeri di saudi, dua province di negara populasi tinggi China yang bermasalah dengan bahasa. Masih, Saya rasakan selamat dan yakin, walau masih berjaga-jaga. Di Malaysia juga sama, tidaklah seselamat hingga tak perlu berjaga. 

Di India. 
Adalah amat payah untuk tidak risau.
Adalah amat payah untuk buat-buat tidak risau. Memang, risau itu bukan sekadar dibuat-buat. Jaga diri sehabis habis jaga. 


Ini rakan saya dari Cuba, namanya Dayanet. Ada beberapa fakta menarik tentang negaranya yang dikongsi, insyaAllah ada masa saya panjangkan pada anda semua :) 

Jumpa lagi. 
Mrs. Farizal 
8 Okt 2013 (Selamat Hari Lahir Amin, adik bongsu saya!) 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...